Covid-19 Sabah: 562 kes, terendah dalam tempoh 3 bulan

Covid-19 Sabah: 562 kes, terendah dalam tempoh 3 bulan

Kota Kinabalu: Sabah mencatat angka terendah kes baharu Covid-19 sejak 24 Julai lalu dengan hanya 562 kes pada hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata penurunan kali ini agak besar iaitu sebanyak 199 kes berbanding 761 kes semalam.

Katanya, situasi itu sejajar dengan bilangan daerah yang mencatat penurunan kes lebih banyak berbanding daerah yang mencatat peningkatan kes.

“Sebanyak 18 daerah mencatat penurunan dan lapan daerah mencatatkan peningkatan kes, manakala satu daerah kekal dengan catatan seperti semalam.

“Tiada daerah yang mencatat angka jangkitan baharu tiga angka hari ini dan hanya daerah Beluran yang mencatatkan peningkatan kes pada julat dua angka,” katanya dalam kenyataan, petang ini.

Katanya, antara daerah menunjukkan penurunan kes signifikan ialah Kota Belud (-36 kes), Kota Kinabalu (-35 kes), Tuaran (-34 kes), Tenom (-26 kes), Kota Marudu (-14 kes), Tambunan (-14 kes), Ranau (-13 kes) dan Lahad Datu (-11 kes).

Beliau berkata, hari ini turut menyaksikan dua daerah iaitu Kuala Penyu dan Tambunan tidak merekodkan sebarang kes baharu Covid-19, manakala kes tertinggi ialah 69 iaitu di Kota Kinabalu.

Sementara itu, Masidi berkata walaupun jumlah keseluruhan pada hari ini ialah 562 kes tetapi kes sebenar yang didaftarkan dalam tempoh 24 jam lalu hanya 294 kes, manakala selebihnya adalah kes lewat didaftarkan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|