Kota Kinabalu: “Bukan saya, itu milik anak tiri,” demikian pengakuan seorang wanita yang ditahan bersama dadah seberat 55.37 gram dalam operasi di Skim Penempatan Telipok, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 7.45 pagi itu, operasi Op Sarang berkenaan dijalankan berdasarkan kepada maklumat selepas disyaki ada kegiatan penyalahgunaan dadah.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abd Rakman berkata, ketika serbuan dilakukan, pihaknya mendapati hanya seorang wanita 58 tahun berada di dalam rumah berkenaan.
Katanya, pemeriksaan fizikal awal terhadap wanita terbabit tidak menemui sebarang kesalahan.
“Namun pemeriksaan lanjut akhirnya menemui satu kotak berisi 14 paket lut sinar pelbagai saiz mengandungi ketulan hablur kristal dipercayai dadah jenis syabu.
“Polis turut menemui sembilan keratan straw lutsinar pelbagai saiz yang setiap satu berisi ketulan hablur kristal di syaki dadah jenis syabu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
George berkata, turut ditemui alat penyepit yang diubahsuai dan 10 plastik lutsinar kosong disyaki digunakan untuk membungkus dadah.
Katanya, semua dadah yang dirampas dianggarkan seberat 55.37 gram dan bernilai RM5,537 berdasarkan harga pasaran semasa.
“Wanita terbabit kini ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Siasatan awal mendapati wanita terbabit mendakwa semua dadah berkenaan adalah milik anak tirinya.
“Selain itu, suspek turut didapati tidak terbabit dalam aktiviti penagihan dadah,” tegasnya.
Sementara itu, George berkata, Op Sarang akan terus dilaksanakan bagi mengambil tindakan tegas terhadap pengedar dan penagih yang bergerak aktif di daerah ini.
“Polis komited dalam membanteras penyalahgunaan dadah khususnya di daerah ini,” katanya.
-Deasoka