Beri penjelasan kenaikan harga tiket penerbangan

Beri penjelasan kenaikan harga tiket penerbangan

Kota Kinabalu: Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat menyokong gesaan supaya Kementerian Pengangkutan memberi penjelasan mengenai isu kenaikan harga tiket penerbangan domestik selepas kerajaan memberi kebenaran rentas negeri.

Presidennya, David Chan berkata syarikat penerbangan di negara ini sepatutnya menurunkan harga tambang dan bukannya menaikkan lagi selepas orang ramai dibenarkan merentas negeri.

“Jangan ambil kesempatan di atas kebenaran yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Rakyat sudah dua tahun tidak dapat bertemu dengan keluarga kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menyokong gesaan disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah yang mahu kerajaan bertindak bagi mengekang harga tiket penerbangan yang membebankan rakyat Sabah dan Sarawak.

Mengulas lanjut, David berkata harga tiket penerbangan yang tinggi memberi kesan terutama kepada pelajar dari Sabah yang hendak ke Semenanjung, selain penduduk di Tawau, Sandakan dan Lahad Datu yang menjadikan pengangkutan udara sebagai pilihan bagi memudahkan pergerakan.

“Kenaikan harga tiket penerbangan domestik tidak sewajarnya berlaku dalam keadaan sekarang. Harga tiket penerbangan yang melambung tinggi itu ibarat mengambil kesempatan terhadap kesempitan pengguna.

“Kami sebagai pengguna, sangat menyokong luahan Datuk Masiung mengenai harga tambang tiket penerbangan domestik yang melambung naik.

“Agensi penerbangan tidak sepatutnya mengambil kesempatan menaikkan harga tambang pada masa ini kerana kebanyakan penumpang adalah mereka yang terkesan akibat PKP.

“Ada antara mereka yang kehilangan pekerjaan sejak dua tahun lalu. Mereka juga ingin pulang ke kampung untuk melawat keluarga mereka di kampung,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|