Tawau: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah mengempur tiga lokasi berasingan dalam usaha mencegah, membanteras pemalsuan dan penyalahgunaan kad pengenalan diri Malaysia.
Operasi yang dijalankan jam 9 pagi itu disertai seramai 20 anggota dan pegawai Bahagian Siasatan & Penguatkuasaan JPN dengan dibantu 14 anggota pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pegawai Operasi JPN Sabah, Malai Delhaizam Bin Malai Hussin berkata, tiga lokasi yang diserbu adalah kilometer 8, Jalan Sin San, Kampung Pasir Putih, Batu 3.5 Jalan Utara dan Batu 3 Jalan Apas, di sini, Rabu lalu.
Katanya, objektif utama operasi ini dijalankan bagi mencegah, membanteras pemalsuan dan penyalahgunaan kad pengenalan diri negara ini.
Pemeriksaan dijalankan bagi memastikan tiada penyalahgunaan dan pemalsuan dokumen.
“Tujuan operasi ini diadakan bagi melakukan pemeriksaan ke atas individu yang menyimpan, memiliki kad pengenalan palsu atau menyalahgunakan kad pengenalan milik orang lain.
“Pemeriksaan dilakukan hasil pemerhatian, risikan dan maklumat dari sumber maklumat awam,” katanya.
Seramai 34 anggota dan pegawai dari JPN dan PDRM terbabit dalam operasi berkenaan.
Menurutnya, hasil operasi ini, seramai 79 individu diperiksa dan hanya seorang individu ditahan atas kesalahan memiliki kad pengenalan palsu.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Undang- Undang JPN mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 kerana memiliki Kad Pengenalan palsu.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dijatuhi hukuman Penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali,”katanya.
Menurutnya, sepanjang operasi dijalankan, tiada sebarang insiden yang tidak diingini dilaporkan berlaku.
-Deasoka