97 peratus penjawat awam Sabah sudah divaksin

97 peratus penjawat awam Sabah sudah divaksin

Kota Kinabalu: Kira-kira 97 peratus daripada 20,174 kakitangan awam negeri Sabah sudah menerima vaksin Covid-19 setakat ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai, berkata peratusan itu mewakili seramai 19,571 penjawat awam negeri.

Jumlah itu katanya adalah berdasarkan rekod Sistem Maklumat Sumber Manusia (SM2) negeri yang direkodkan sehingga 10 Oktober lalu.

“Jumlah keseluruhan yang terkumpul berdasarkan rekod dalam SM2 adalah seramai 19,571 orang penerima vaksin membabitkan 97 peratus penjawat awam negeri yang berkhidmat di seluruh Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Wisma Wanita, di sini, hari ini.

PPV Wisma Wanita yang beroperasi sejak 13 Jun lalu adalah antara PPV terawal di buka di Kota Kinabalu dengan tumpuan untuk memberi kemudahan kepada penjawat awam negeri dan persekutuan mendapatkan vaksin Covid-19.

Datu Rosmadi berkata, sehingga 10 Oktober lalu, PPV Wisma Wanita berjaya memberikan 12,709 suntikan vaksin COVID-19 kepada penjawat awam negeri, khususnya yang bertugas di sekitar ibu negeri.

Daripada jumlah itu, katanya seramai 6,757 orang adalah penerima dos pertama, manakala seramai 5,455 orang lagi adalah penerima dos kedua.

Tambahnya, pencapaian PPV Wisma Wanita itu, turut membantu mempercepatkan proses vaksinasi bagi kawasan Kota Kinabalu sehingga mencapai kadar 92 peratus penduduk dewasa sudah divaksin setakat ini.

Katanya, sepanjang kira-kira empat bulan beroperasi, PPV Wisma Wanita dikendalikan seramai 425 penjawat awam negeri dan persekutuan yang menawarkan diri sebagai petugas sepenuh masa, separuh masa atau sambilan.

Selain itu, katanya operasi PPV berkenaan turut dibantu jururawat dan pakar perubatan yang sudah bersara yang tampil menjadi petugas secara sukarela.

“Pengorbanan masa dan tenaga mereka sangat membanggakan dan tentunya memberikan sumbangan yang besar dalam mempercepatkan kadar vaksinasi, khususnya di Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Datu Rosmadi berkata kerajaan negeri akan menetapkan syarat pengambilan kakitangan awam baharu ke dalam perkhidmatan awam negeri dengan mewajibkan setiap calon melepasi tahap penilaian kesihatan diri dan sudah menerima vaksin COVID-19 lengkap.

Katanya, langkah itu selari dengan usaha kerajaan negeri bagi meningkatkan keyakinan dan kepercayaan orang ramai untuk berurusan di bangunan kerajaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|