Kota Kinabalu: Mesyuarat Cawangan UMNO yang bermula hari ini bakal menjadi medan menyatukan kembali pemimpin dan ahli akar umbi parti untuk sama-sama mempersiapkan jentera menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Dalam perutusan sempena Mesyuarat Cawangan UMNO negeri, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata beliau yakin ahli dan pemimpin akar umbi UMNO di negeri ini lebih bersemangat selepas apa yang dilalui parti itu sebelum ini.
Katanya, Mesyuarat Cawangan UMNO akan menjadi tumpuan ahli akar umbi untuk hadir dengan penuh semangat bagi memperbaiki parti dan meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan negara.
“Kekuatan UMNO itu secara keseluruhannya bermula dari akar umbi. Selepas kita laksanakan mesyuarat cawangan segala isu yang dibangkitkan akan dibawa ke peringkat bahagian dan fokus kita pada bahagian sangat penting agar strategi terbaik dapat diangkat.
Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika merasmikan persidangan UMNO Kinabatangan pada tahun lalu.
“Walaupun persidangan cawangan UMNO diadakan dalam keadaan negara masih berhadapan dengan pandemik COVID-19 mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, ianya bukan penghalang untuk ahli meneruskan agenda perjuangan parti.
“Selain pematuhan terhadap SOP yang ditetapkan, laksanakanlah mesyuarat dengan penuh semangat, berdispilin dan sentiasa menjaga imej parti,” katanya.
Mesyuarat Cawangan UMNO berlangsung di seluruh negara bermula hari ini hingga 30 November depan .
Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, berkata pemimpin dan ahli UMNO di peringkat akar umbi perlu terus membina kekuatan keseluruhan jenteranya dan menyemarakkan semula semangat perjuangan selepas diuji dengan apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Saya harap kepemimpinan UMNO sama ada di peringkat cawangan dan bahagian dapat menekankan kerja berpasukan dalam memimpin UMNO ke arah kecemerlangan.
“Kerja berpasukan sangat penting untuk gerak kerja dan strategi yang dirancang antara pucuk pimpinan bahagian bersama akar umbi baik di peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Kita ketepikan dulu soal jawatan dalam bahagian atau soal calon pada PRU akan datang, yang penting kita perkemaskan jentera parti bagi menjamin kemenangan ketika berhadapan PRU nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua UMNO Kinabatangan itu juga mengingatkan ketua cawangan UMNO agar mengenal pasti ahli parti yang masih berdaftar di peringat cawangan .
Tambah beliau, keahlian parti di peringkat cawangan perlu dikemas kini bagi memudahkan gerak kerja ketika PRU selain dapat menyemak status ahli yang sebenar.
“Ini kerana sebelum ini timbul aduan daripada ahli UMNO cawangan yang nama mereka didaftarkan menjadi ahli parti lain di luar pengetahuan mereka.
“Data keahlian ini penting bukan sahaja untuk gerak kerja parti tetapi memudahkan parti membantu ahli yang berhadapan musibah dan sebagainya agar dapat dibantu serta-merta,” katanya.
-Deasoka