Kota Belud: Seorang lelaki sanggup membuat laporan palsu kononnya disamun dua lelaki tidak dikenali di Kampung Pirasan, di sini, malam tadi, kerana mahu mendapat perhatian isterinya yang menuntut cerai.
Bagaimanapun, tindakannya itu bukan saja gagal mendapat perhatian isterinya malah lelaki berusia 30-an itu ditahan selepas didapati positif dadah jenis syabu.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Sahimi Husin berkata, suspek membuat laporan polis kira-kira jam 9 malam tadi dengan mendakwa disamun dua lelaki yang turut melarikan motosikal miliknya.
Bagaimanapun katanya, hasil siasat mendapati laporan yang dibuat mencurigakan sebelum suspek akhirnya mengaku membuat laporan palsu.
“Suspek kemudiannya membawa polis ke lokasi dia menyembunyikan motosikalnya dan turut mengaku terpaksa membuat laporan itu kerana mahu menyelamatkan rumah tangganya.
“Polis kemudiannya membuat ujian saringan air kencing sebelum didapati positif dadah jenis syabu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sahimi berkata, suspek kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, jika sabit kesalahan, suspek berhadapan dengan hukuman penjara berserta denda jika sabit kesalahan kerana membuat laporan palsu.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihak polis memandang serius perbuatan tidak bertanggungjawab itu dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana Individu yang masih berdegil membuat laporan palsu.
– Deasoka