MINDEF optimis vaksinasi tentera di Sabah tercapai

MINDEF optimis vaksinasi tentera di Sabah tercapai

Lok Kawi: Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) optimis jumlah penerimaan vaksin di kalangan warga tentera di negeri ini terus mencapai sasaran.

Menteri Kanan (Kluster Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya melihat peratusan suntikan vaksin telah mencapai sekurang-kurangnya 95 peratus melibatkan jumlah 11,000 anggota tentera.

“Peratusan suntikan vaksin membabitkan anggota tentera di Sabah amat tinggi.

“Contohnya, seluruh anggota tentera di Sabah ini adalah kira-kira seramai 11,000 anggota tentera dengan yang sudah pun disuntik mencecah seramai 10,400 anggota.

“Ia bermaksud hampir 95 peratus secara keseluruhannya membabitkan Tentera Darat, Tentera Udara dan Tentera Laut telah menerima vaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian program Vaksinisasi Pandu Lalu Tentera Darat Malaysia (TDM) di Kem Lok Kawi, hari ini.

Ismail dalam sidang media di Kem Lok Kawi, hari ini.

Hadir sama adalah Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmey Yahya dan Panglima Lima Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid.

Sementara itu, mengulas mengenai program tersebut, Ismail berkata, seramai 636 anggota tentera, keluarga dan kakitangan awam yang menghuni kediaman di Kem Lok Kawi dan sekitar daerah tersebut disenaraikan sebagai penerima suntikan vaksin pada program terbabit.

Untuk rekod, seramai 67 penerima awal adalah membabitkan anggota tentera manakala 439 lagi adalah ahli keluarga mereka.

Salah seorang penerima vaksin menerima dos suntikan di stesen yang disediakan dalam program tersebut.
Ismail bersembang dengan salah seorang penerima vaksin dalam program berkenaan.

“Ia berlangsung dalam tempoh enam jam bermula jam 8 pagi tadi dengan melibatkan tiga saluran kenderaan dan enam stesen suntikan.

“Terdapat 66 petugas terlibat dalam program ini.

” Ia merupakan lokasi ketiga selepas projek perintis pertama yang dilaksanakan di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur dan kedua di Kem Muara Tuang, Sarawak, “katanya.

Khidmat pandu lalu vaksinasi di Kem Lok Kawi.

Terdahulu, beliau berkata, seramai 6,500 individu direkodkan menerima suntikan membabitkan 4,800 daripada 5,000 anggota tentera di Kem Lok Kawi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|