Dua selamat, kereta terbakar

Dua selamat, kereta terbakar

Kota Kinabalu: Seorang pemandu dan penumpang terselamat selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbakar dalam kejadian di Jalan Lintas berhampiran Taman Iramanis, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, kedua-dua mangsa yang dipercayai dalam perjalanan pulang dikatakan terkejut selepas mendapati api mula marak dari bahagian enjin.

Panik dengan kejadian itu, pemandu wanita terbabit terus menghentikan kenderaan di tepi jalan sebelum keluar menyelamatkan diri.

Pasukan bomba memadam api membabitkan kebakaran kereta di Jalan Lintas, Kota Kinabalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.18 petang.

Katanya, sepasukan 11 anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu memadam kebakaran.

“Kebakaran membabitkan sebuah kenderaan jenis Suzuki Vitara yang dinaiki dua mangsa iaitu seorang pemandu wanita dan penumpang lelaki.

“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan operasi pemadaman berjaya ditamatkan pada
Jam 1.42 petang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Agustavia berkata, punca kebakaran dan anggaran kerugian dalam kejadian ini masih dalam siasatan.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|