Bot besi karam, tujuh kontraktor diselamatkan Maritim Malaysia

Bot besi karam, tujuh kontraktor diselamatkan Maritim Malaysia

Kota Kinabalu: Tujuh kontraktor berjaya diselamatkan selepas bot besi yang dinaiki karam dalam kejadian di perairan Kimanis, di sini, hari ini.

Kejadian disedari berlaku pada jam 12.06 tengah hari selepas salah seorang mangsa yang membuat panggilan kecemasan ke talian MERS 999 untuk meminta bantuan.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, mangsa memaklumkan sebuah bot besi karam sepenuhnya manakala sebuah lagi bersama tujuh penumpang juga hampir karam.

Katanya, sebaik maklumat diterima daripada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC), operasi CARILAMAT terus diaktifkan.

“Kapal Maritim (KM) Ikhlas dan bot Pengawal 39 terus diarahkan bergerak ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi menyelamat.

“Sebaik tiba di lokasi pada jam 1.42 petang, semua mangsa ditemui sedang berdiri di atas bot yang hampir tenggelam,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Rosli berkata, siasatan awal mendapati, semua mangsa adalah kontraktor bagi kerja-kerja pemasangan di perairan Kimanis.

Katanya, semua mangsa yang diselamatkan kemudiannya dibawa ke Jeti Maritim, Sepanggar untuk tindakan selanjutnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|