Penampang: Penduduk Kampung Kodou Kaanapaan, di sini, tidak pernah menyangka kampung yang didiami sejak 70 tahun lalu akan dilanda banjir.
Dalam kejadian 15 September lalu itu terus menjadi igauan kepada lebih lima keluarga di kampung berkenaan selepas rumah mereka bukan saja dilanda banjir lumpur tetapi juga rosak teruk akibat ‘dirempuh’ serpihan pokok dan kayu yang tumbang.
Salah seorang penduduk, Jongngis Junior, 27, berkata, dia tinggal di kampung berkenaan sejak dilahirkan tetapi tidak pernah berdepan bencana berkenaan.
Jongngis, 27 tahun.
Malah katanya, bapanya yang berusia 62 tahun juga tidak pernah menceritakan sebarang pengalaman kampung mereka dilanda banjir.
“Sebelum kejadian, kami sekeluarga berada di rumah untuk berehat kerana ketika itu hujan sangat lebat kira-kira jam 2 petang.
“Namun saya terkejut apabila menyedari ada limpahan air deras melalui hadapan pintu rumah dan terus keluar untuk memeriksa keadaan di luar rumah,” katanya ketika ditemui, semalam.
Keadaan rumah mangsa yang rosak teruk selepas ‘dirempuh’ batang pokok yang dihanyutkan banjir lumpur akibat runtuhan tanah di kawasan berhampiran.
Jongngis berkata, dia terus memaklumkan kepada ahli keluarga lain dan jiran-jiran bersebelahan untuk membawa naik barangan berharga ke tempat selamat.
Namun katanya, selang lima minit kemudiannya, dia melihat limpahan kayu puluhan hanyut di hadapan rumahnya.
“Dalam keadaan panik, kami terus mencari tempat selamat sebelum menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan segera,” katanya.
Sementara itu, Jongngis berkata, akibat daripada kejadian itu, banyak kerosakan berlaku terutamanya membabitkan peralatan elektrik.
Malah katanya, sebuah rumah yang baru siap dibina sejak beberapa minggu lalu turut ranap dihempap kayu-kayan yang hanyut.
“Bahagian belakang rumah juga ranap akibat rempuhan kayu yang hanyut bersama lumpur.
“Ini kejadian pertama kali berlaku seumur hidup kami sekeluarga. Mudah-mudahan kejadian seperti ini tidak akan berlaku lagi,” katanya.
Maidol Paulin, 68 tahun.
Sementara penduduk Kampung Sugud, Maidol Paulin, 68, berkata, kejadian berlaku amat pantas dan mencemaskan.
Malah katanya, tiada apa yang dapat diselamatkan termasuk rumah yang ranap sepenuhnya dihanyutkan banjir lumpur.
“Kami sekeluarga kini tidak tahu bagaimanapun nasib selepas ini, semua harta benda langsung tidak dapat diselamatkan.
“Saya berharap akan ada pihak yang tampil untuk membantu membina semula rumah untuk kami sekeluarga,” katanya.
-Deasoka