DUN Sabah: 283,745 pekerja terima manfaat Subsidi Upah

DUN Sabah: 283,745 pekerja terima manfaat Subsidi Upah

Kota Kinabalu: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata seramai 283,745 pekerja di Sabah mendapat manfaat melalui Program Subsidi Upah membabitkan perbelanjaan sebanyak RM975 juta.

Beliau berkata, seramai 782,000 rakyat negeri ini turut menerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) membabitkan perbelanjaan sebanyak RM628 juta, manakala Bantuan Khas COVID-19 (BKC) juga sedang dalam proses pengagihan.

Katanya, bantuan berkenaan disasar dapat meringankan kos sara hidup dan membantu pemulihan ekonomi semua lapisan rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Kerajaan negeri merakamkan terima kasih atas keprihatinan kerajaan persekutuan yang melaksanakan pelbagai inisiatif pemulihan ekonomi, yang turut membabitkan negeri Sabah,” katanya pada sesi soal jawab lisan Persidangan DUN Sabah, hari ini.

Beliau menjawab soalan Calvin Chong Ket Kiun (DAP – Elopura) mengenai langkah kerajaan negeri untuk memulihkan ekonomi dan sosial Sabah berikutan pandemik COVID-19.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata bagi mempercepatkan pemulihan melalui pembukaan pelbagai aktiviti ekonomi dan sosial, kerajaan negeri memperhebatkan program vaksinasi COVID-19 untuk mencapai imuniti kelompok sebelum bulan depan.

Katanya, kerajaan negeri membuka lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV), mempergiatkan pelaksanaan program vaksinasi bergerak di kawasan luar bandar, pemberian vaksin secara `walk-in’ dan kerjasama sektor awam-swasta.

“Pencapaian imuniti kelompok itu akan menyaksikan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi, pembukaan premis perniagaan dan aktiviti sosial di Sabah.

“Dalam bulan ini saja beberapa aktiviti ekonomi dan sosial sudah dibenarkan secara berperingkat melalui fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi seluruh negeri Sabah sebagai tambahan kepada aktiviti yang dibenarkan sebelum ini.

“Ini termasuklah premis makanan dan restoran, pelancongan domestik, gelembung perjalanan, institut latihan pemanduan, industri kreatif, sukan dan rekreasi, perkhidmatan pengangkutan dan sektor logistik, penjaja, sektor ekonomi perkhidmatan perlu dan rantaiannya merangkumi pertanian, perikanan, penternakan, perladangan, industri dan perniagaan, serta sektor perdagangan dan pengedaran,” katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PPN, Sabah adalah antara negeri terawal melaksanakan pembukaan beberapa aktiviti bagi memastikan kehidupan ekonomi rakyat dan sosial dapat dipulihkan secara berperingkat.

Katanya, bagi menyokong pemulihan ekonomi merentasi semua sektor, penyampaian perkhidmatan awam negeri turut diperkasa, antaranya melalui pendigitalan agar dapat memberi manfaat kepada rakyat dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

“Walaupun konsep bekerja dari rumah dilaksanakan sepanjang PKP dan PPN bagi mengekang ancaman penularan COVID-19, namun ia tidak menjejaskan perkhidmatan utama kerajaan,” katanya.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, berkata kerajaan negeri yakin semua inisiatif yang dirancang dan dilaksanakan di bawah pelan pemulihan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), atau pelan pemulihan jangka pendek mampu merangsang pertumbuhan dan memulihkan ekonomi serta sektor sosial di Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|