Kota Belud ditenggelami banjir

Kota Belud ditenggelami banjir

Kota Kinabalu: Kota Belud terus mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi di Sabah, pagi ini.

Setakat jam 9 pagi tadi, bilangan keseluruhan mangsa yang dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) bagi Kota Belud mencatatkan seramai 88 orang membabitkan 26 keluarga.

Jumlah mangsa banjir berkenaan meningkat berbanding 22 orang daripada sembilan keluarga setakat jam 5 petang semalam.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri berkata, 22 mangsa membabitkan sembilan keluarga kini berada di PPS Dewan Muhibah Kampung Tombol.

“30 mangsa daripada lapan keluarga pula berada di PPS Dewan SRJK Chung Hwa manakala 36 orang lagi penduduk terjejas banjir membabitkan sembilan keluarga di daerah sama berada di PPS Dewan SK Tamau.

“Hujan lebat yang berterusan itu menyebabkan air di tiga sungai utama naik begitu mendadak hingga berlaku banjir di beberapa kawasan di daerah ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut, faktor mendapan pasir batu dan kelodak dari Hulu Kadamaian hingga muara Sungai Abai turut mengakibatkan beberapa kampung berdekatan dinaiki air.

Menurutnya, sehingga kini sebanyak 40 kampung di daerah ini terjejas akibat dinaiki air banjir.

Sementara itu, sebanyak 10 jalan juga turut terjejas namun boleh dilalui iaitu Jalan Kampung Bobot, Jalan Siasai Tamu, Jalan Lebak Moyoh Bypass Kudat, Bulatan Lebak Moyoh, Jalan Kudat Kampung Timbang dan Kampung Tambilaung.

“Manakala jalan yang hanya boleh dilalui kenderaan berat iaitu Jalan Kampung Menunggui, Jalan Kampung Linau, Jalan Kampung Kota Belud, Jalan Kampung Sembirai dan Jalan Labuan.

“Kini pasar air sungai lebak Moyoh menurun dan cuaca tidak hujan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|