Didik pelajar benci rasuah

Didik pelajar benci rasuah

Labuan: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan Labuan bersama rakan strategiknya, Jabatan Pendidikan Labuan menganjurkan Pertandingan Video Pendek dan Lirik serta Lagu bertemakan anti rasuah dan integriti, baru-baru ini.

Program disertai 15 sekolah rendah dan menengah di Labuan itu bertujuan memperkukuh pendidikan berteraskan pembentukan sahsiah, jati diri dan kepemimpinan berintegriti sejajar inisiatif yang digariskan dalam Pelan Anti Rasuah Kebangsaan 2019-2023.

Pengarah SPRM Labuan, Mohd Yusizzudin Mohd Yusof, berkata pertandingan berkenaan juga dapat mencungkil kreativiti murid dan pelajar berdasarkan kefahaman mereka berhubung usaha memerangi rasuah dan meningkatkan integriti.

“Pertandingan ini disasar untuk menerapkan nilai-nilai integriti yang tinggi selain menanamkan sifat membenci serta menghindari rasuah menggunakan platform hasil karya video pendek dan lagu supaya mudah dihayati dan memberikan kesan dalam kehidupan murid serta pelajar,” katanya.

Beliau berkata pertandingan seumpama itu dapat membentuk dan membudayakan nilai anti rasuah serta integriti dalam kalangan murid serta pelajar agar lebih bertanggungjawab demi membangunkan negara yang berintegriti dan bebas daripada salah laku rasuah.

Penilaian pertandingan berkenaan diadakan di Hotel Tiara, di sini, pada 13 September lalu yang diketuai PsK Augustine S Manson @ David yang dibantu dua anggota SPRM Labuan, Ps Sem Ajan dan PkPs Kamal Ag Besar serta Jasmini Daud dari SMK Rancha-Rancha dan Romeno Suali dari SK Kerupang.

Augustine berkata penyertaan kali ini sangat menarik kerana peserta semakin kreatif dalam suntingan dan penyampaian mesej yang mengenai tema pertandingan yang ditetapkan.

Bagi Pertandingan Lirik dan Lagu Sekolah Menengah, johan disandang oleh SMK Mutiara dengan lagu Jihad Perangi Rasuah, diikuti SMK Taman Perumahan Bedaun dengan lagu Kita Wira Anti Rasuah di tempat kedua dan SM Sains Labuan di tempat ketiga dengan lagunya Rasuah Itu Nista.

Bagi Pertandingan Video Pendek Sekolah Rendah, johan ialah SK Pekan Satu dengan videonya yang bertajuk Parasit, diikuti naib johan SJKC Chi Wen dan tempat ketiga, SK Pekan Dua.

SMK Rancha-Rancha dengan videonya, Rasuah Dalam Pekerjaan muncul johan Pertandingan Video Pendek Sekolah Menengah, diikuti naib johan, SM Sains Labuan dan tempat ketiga SMK Taman Perumahan Bedaun.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|