Bung Moktar gesa Pusat beri tauliah kepada JKR Sabah

Bung Moktar gesa Pusat beri tauliah kepada JKR Sabah

Kota Kinabalu: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin meminta kerajaan Pusat agar mengiktiraf Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sebagai sebuah jabatan teknikal yang bertauliah.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata tidak masuk akal sebuah jabatan yang mempunyai beribu jurutera bertauliah dan berpengalaman dalam bidang teknikal tidak mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Pusat.

“Saya mahu perkara ini dilihat oleh kerajaan Pusat. Menteri Kerja Raya datangnya dari Sarawak, jangan hanya tumpu di Sarawak. Begitu juga Timbalan Menteri dari Sabah, diharapkan akan memperjuangan perkara ini,” katanya ketika sesi perbahasan menjunjung kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, semalam.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata masalah akan timbul apabila projek yang dikendalikan JKR Pusat bermasalah atau terbengkalai memandangkan JKR negeri tiada kuasa untuk membuat pemantauan.

“Ini adalah satu masalah, apabila kita tidak diberikan peranan dan pengiktirafan, ada projek kerajaan Pusat di bawah kendalian JKR kita tidak dapat berbuat apa-apa, kita biarkan rakyat marah dan yang menerima kesan kerajaan negeri dan rakyat,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Bung Moktar berharap di bawah konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub, Sabah mendapat perhatian yang lebih dari segi agihan projek pembangunan.

“Sebelum ini kerajaan Barisan Nasional (BN) menyediakan peruntukan untuk pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, sebaik BN tewas kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan, peruntukan dipotong menyebabkan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo terbengkalai dan Sabah berhadapan dengan pelbagai masalah banjir kilat, tanah dan jambatan runtuh kerana sistem jalan raya tidak teratur,” katanya.

Bagi meneruskan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo, katanya kerajaan negeri bersetuju untuk melaksanakanya secara inisiatif pembiayaan swsata (PFI) dan permohonan juga sudah dikemukakan kepada kerajaan Pusat.

Kataya, kerajaan Pusat khususnya Kementerian Kewangan meluluskan permohonan itu secepat mungkin supaya beberapa pakej yang ditetapkan dalam projek itu dapat dilaksanakan agar impian rakyat Sabah untuk menikmati kemudahan perhubungan jalan raya baik dan sempurna dapat ditunaikan segera.

Bung Moktar menambah ketika kerajaan BN, pelbagai projek pembangunan diluluskan untuk dilaksanakan di negeri ini, antaranya pembesaran Lapangan Terbang Sandakan, namun peruntukannya dipotong kerajaan PH.

“Inilah masalah politik dendam yang menjadi amalan PH akhirnya rakyat yang menjadi mangsa,” katanya.

Beliau berkata, menjadi harapan rakyat Sabah selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) agar kerajaan Pusat lebih saksama menyalurkan peruntukan pembangunan dalam Rancangan Malaysia Ke -12 (RMKe-12) untuk kepentingan rakyat Sabah.

“Terdapat jurang besar dalam pembangunan di Sabah berbanding di negeri lain di Semenanjung, jadi kita (rakyat) Sabah tidak mahu segala pengumuman hanya sekadar retorik, sebaliknya mesti ditunaikan selaras dengan MA63,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|