Kanak-kanak 2 tahun cetus Kluster Lungkidau di Ranau

Kanak-kanak 2 tahun cetus Kluster Lungkidau di Ranau

Kota Kinabalu: Seorang kanak-kanak lelaki berumur dua tahun mencetuskan kluster baharu Covid-19 berkaitan komuniti yang dilaporkan di daerah Ranau, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kes indeks Kluster Lungkidau itu dikesan positif Covid-19 menerusi saringan pra kemasukan ke wad pada 7 September lalu.

Katanya, bapa kes indeks turut didapati positif Covid- 19 hasil saringan pengiring kemasukan ke wad pada hari yang sama, sebelum saringan dilakukan terhadap komuniti kampung dan mengesan 134 kes positif keseluruhan setakat ini.

“Siasatan awal mendapati bapa kepada kes indeks mempunyai rekod menghadiri mesyuarat dan gotong-royong membersihkan lot tanah penanaman sawit di Mukim Paginatan.

“Siasatan lanjut mendapati terdapat beberapa lagi aktiviti yang melibatkan perkumpulan orang, selain mesyuarat dan gotong royong pembahagian lot tanah.

“Antaranya aktiviti gotong-royong pembaikan jambatan di Kampung Lungkidau dan gotong-royong merantis jalan laluan utama kereta untuk masuk ke kawasan perkuburan di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Katanya, saringan kontak rapat yang dijalankan pada 7 September lalu hingga semalam membabitkan 177 orang mengesan seramai 134 kes positif Covid-19 termasuk tujuh kes baharu.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata kes baharu Covid-19 di Sabah hari ini menunjukkan peningkatan sebanyak 36 kes kepada 1,291 kes.

Kes kematian pula menurun lima kes kepada 14 kes hari ini dengan empat kes di Kota Kinabalu, diikuti tiga kes di Tawau, manakala Kunak, Kota Marudu, Penampang, Keningau, Kudat, Tuaran dan Nabawan masing-masing mencatat satu kes.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|