178 pasang kasut Adidas dan Nike tiruan dirampas

178 pasang kasut Adidas dan Nike tiruan dirampas

Lahad Datu: Sejumlah 178 kasut disyaki tiruan jenama Nike dan Adidas berjaya dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), dalam serbuan di premis di pusat bandar daerah ini, hari ini.

Operasi jam 10.45 pagi itu dilancarkan bahagian penguatkuasaan agensi berkenaan, hasil daripada maklumat awam dan risikan yang dijalankan sebelum ini.

Kenyataan media yang dikeluarkan KPDNHEP Lahad Datu berkata, seorang lelaki berusia 38 tahun yang dipercayai pemilik premis berkenaan turut diambil keterangan bagi membantu siasatan lanjut.

Katanya, antara yang dirampas adalah membabitkan 115 kasut jenama Nike dan 25 pasang kasut jenama Adidas.

“Selain itu, operasi serbuan turut merampas masing-masing 19 pasang selipar jenama Adidas dan Nike.

“Dianggarkan nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM20,712,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 102(1)(b) Akta Cap Dagang 2019 iaitu menjual atau menawarkan atau mendedahkan bagi jualan barangan cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

“Jika bukan suatu pertubuhan perbadanan, hukuman denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan dipakai dengan salah cap dagangan berdaftar atau maksimum penjara tiga tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

“Manakala bagi kesalahan kedua, peniaga boleh dikenakan demda RM20,000 bagi setiap barangan atau maksimum lima tahun penjara, jika sabit kesalahan,” tegasnya.

Menurutnya, pihak KPDNHEP sentiasa melindungi hak cipta dagangan dan pemilik harta intelek yang berdaftar.

Sementara itu, sejak 1 Januari hingga hari ini, KPDNHEP sudah melancarkan pemeriksaan terhadap 5,721 premis di daerah Lahad Datu.

Katanya, hasil daripada pemeriksaan, pihaknya berjaya mengesan sebanyak 68 kes membabitkan rampasan sebanyak RM86,799.85.

“Manakala nilai kompaun yang dikeluarkan bagi semua kesalahan itu adalah sebanyak RM9,459,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|