Lelaki maut, bot bertembung

Lelaki maut, bot bertembung

Sandakan: Seorang lelaki maut selepas bot naikinya bertembung dengan sebuah lagi bot dalam kejadian di Sungai Dabal, di sini, hari ini.

Dalam insiden jam 9 pagi itu, mangsa berusia 43 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, siasatan awal polis mendapati, mangsa yang menaiki bot bersendirian bergerak dari arah simpang Sungai Kidal.

Bagaimanapun katanya, bot dipandu mangsa bertembung dengan sebuah bot yang dinaiki seorang lelaki bersama dua lagi wanita.

“Bot dirempuh mangsa dipandu seorang juragan berusia 42 tahun bersama dua penumpang berusia 27 dan 30 tahun.

“Bot yang dinaiki tiga individu terbabit dikatakan bergerak lurus dari arah Sungai Dabal menghala ke pusat bandar Sandakan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Azhar berkata, akibat daripada kejadian berkenaan, mangsa meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala.

Manakala katanya, juragan dan dua penumpang dari sebuah lagi bot tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|