5 daerah terjejas banjir, 40 mangsa dipindahkan

5 daerah terjejas banjir, 40 mangsa dipindahkan

Kota Kinabalu: Hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi menyebabkan lima daerah sekitar negeri ini dilanda banjir kilat.

Antara daerah berkenaan termasuklah Kota Kinabalu, Penampang, Sipitang, Kota Belud dan Beaufort.

Bagaimanapun, hanya Sipitang dan Kota Belud sahaja yang mencatatkan pemindahan mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 6 petang tadi.

Jurucakap Agensi Pertahanan Awam (APM) Sabah berkata, seramai 40 orang mangsa banjir membabitkan dua daerah berkenaan kini berada di PPS mengikut daerah masing-masing.

Katanya, seramai 22 mangsa daripada sembilan keluarga ditempatkan di PPS Dewan Muhibah Kampung Tombol, Kota Belud.

“Manakala 18 penduduk terjejas banjir membabitkan enam keluarga di Sipitang kini dipindahkan ke PPS Dewan Mini Mesapol.

“Daerah lain belum terdapat sebarang pemindahan mangsa setakat ini.

“Bagaimanapun, kita sentiasa bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan banjir di kawasan lain ekoran cuaca yang tidak menentu ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Dunstan Peter berkata, kejadian tanah runtuh berulang sekali lagi di Apartmen Country Heights hari ini.

“Pasukan bomba juga mengarahkan pihak pengurusan untuk melantik kontraktor bagi mengalihkan tanah runtuh selain membuat laluan air sementara bagi mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku.

“Tiada mangsa atau keadaan yang membahayakan terjadi dalam kejadian tanah runtuh berkenaan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|