Kota Kinabalu: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) memantau semua menara talian penghantaran terutama di kawasan berbukit bagi mengesan sebarang kemungkinan ancaman yang boleh menjejaskan bekalan elektrik di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Datuk Ir Abdul Nasser Abdul Wahid, berkata pemantauan dilakukan melalui udara sebagai antara langkah siap siaga berikutan musim hujan kebelakangan ini.
“SESB bersiap siaga dan bersedia bagi memastikan kelangsungan bekalan elektrik atau mengurangkan impak gangguan kepada pengguna sekiranya berlaku bencana disebabkan hujan lebat berterusan ketika ini.
“Sejak beberapa minggu lalu, SESB melaksanakan pemantauan dari udara terhadap semua menara talian penghantaran terutama yang dibina di kawasan berbukit.
“Pemantauan ke atas menara talian penghantaran ini dilakukan untuk membolehkan penilaian awal dibuat bagi memastikan keadaan menara adalah selamat agar sebarang tindakan pencegahan awal dapat diambil terutama di lokasi yang ada kejadian tanah runtuh berikutan cuaca hujan yang melanda pantai barat Sabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, SESB sudah mengenal pasti beberapa lokasi menara talian penghantaran yang diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi dan tindakan serta merta dilaksanakan dengan memasang kanvas dan membina longkang untuk aliran air serta lain-lain langkah mitigasi agar struktur cerun dapat dikawal sebaiknya.
Sementara itu, mengulas mengenai tahap kestabilan menara talian penghantaran di Kampung Maang, Penampang yang tular di media sosial hari ini, beliau berkata kerja pemantauan dan mitigasi awal sudah dilakukan oleh pasukan SESB.
“Kerja-kerja pembaikan cerun di kawasan menara talian penghantaran ini akan terus dilaksanakan berdasarkan penilaian risiko kami,” katanya.
Dalam pada itu, Nasser berkata SESB sentiasa dalam keadaan tunggu sedia bagi menghadapi kemungkinan banjir yang akan memberi kesan kepada pepasangan elektrik, termasuk menggerakkan set janakuasa mudah alih ke lokasi terjejas pada bila-bila masa diperlukan.
Katanya, persiapan rapi sudah dilakukan di setiap zon dan daerah dengan mengerahkan pasukan teknikal bersiap sedia 24 jam sehari bagi membaiki sebarang kerosakan.
“SESB juga akan membuka bilik gerakan untuk memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini mengenai bekalan elektrik,” katanya.
Pengguna yang terputus bekalan elektrik ketika musim banjir, katanya boleh menghubungi SESB di talian 15454, 088-515000, Whatsapp 019- 852 5427 atau Facebook SESB Careline bagi mendapatkan bantuan pemulihan bekalan atau berkaitan aspek keselamatan elektrik.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati menggunakan peralatan elektrik jika premis mereka dinaiki air selain tidak menyentuh alat elektrik atau suis dengan tangan yang basah bagi mengelak renjatan elektrik.
-Deasoka