Bung Moktar minta Pusat bantu Sabah atasi banjir

Bung Moktar minta Pusat bantu Sabah atasi banjir

Kota Kinabalu: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin meminta kerajaan persekutuan supaya membantu kerajaan negeri menangani masalah banjir yang sering menjejaskan beberapa daerah kebelakangan ini.

Dalam ucapan perbahasannya di Dewan Rakyat, hari ini, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, berkata semua kementerian berkaitan termasuk Kementerian Kewangan perlu tampil untuk membantu.

Katanya, apa yang menyedihkan, banjir berlaku ketika Sabah menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia Ke-58 pada 16 September lalu dan kesannya belum selesai dipulihkan hingga ke hari ini.

“Baru-baru ini kita menyambut Hari Malaysia Ke-58, malangnya di Sabah, semasa menyambut Hari Malaysia, banyak daerah tenggelam.

“Sampai hari ini hujan lebat masih melanda di sekitar Kota Kinabalu dan banyak jalan terputus, tidak boleh dilalui, jambatan runtuh, air bersih tidak boleh dibekalkan dan elektrik putus.

“Justeru itu, saya minta kerajaan persekutuan tunaikan janji kita. Bangunkan Sabah bersama-sama negeri yang lain.

“Oleh itu, saya minta kerajaan persekutuan, Menteri Kewangan, bantu kami selesaikan masalah ini. Kementerian Alam Sekitar dan Air, bantu kami, sebab banjir ini berlaku apabila parti tersumbat berpuluh tahun, maka berlaku banjir sebab hujan tidak berhenti,” katanya.

Selain itu, Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri turut membangkitkan isu sekolah daif di Sabah yang sehingga kini belum dapat diselesaikan.

Katanya, ketika pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, sebanyak RM1 bilion dijanjikan untuk mengatasi masalah itu, namun tidak dapat dilaksanakan selepas kalah pada pilihan raya lalu.

“Demikian juga dengan soal naik taraf sekolah daif. Dulu, waktu BN, kita janji RM1 bilion tetapi apabila BN kalah dan Pakatan Harapan (PH) naik, kosong,” katanya.

Ketua UMNO Sabah itu turut meminta agar kerajaan Pusat meneruskan projek memanjangkan landasan Lapangan Terbang Sandakan yang masih tertangguh.

Katanya, projek yang penting itu menjadi mangsa amalan politik dendam berikutan perubahan kerajaan yang bermula selepas PH mengambil alih pentadbiran negara selepas pilihan raya umum (PRU) lalu.

“Satu lagi yang saya pelik ialah waktu BN dulu kita janji panjangkan landasan Lapangan Terbang Sandakan, naik PH, potong.

“Tiba-tiba Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan, bila Bagan (Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng) pergi Sandakan umum lulus projek tetapi sampai sekarang tiada, haram, kosong.

“Saya mahu kerajaan tunai janji ini, antara Lapangan Tawau dan Sandakan, panjangkan landasan. Jangan umum saja lepas itu tiada.

“Apabila masalah politik dendam, beginilah jadinya. Bila PH perintah, projek baik pun dia potong. Akhirnya negara jadi miskin dan tidak tentu hala tuju.

“Disebabkan PH kita jadi begini, ekonomi musnah, rakyat menderita kerana terlalu main politik yang tidak masuk akal,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|