Persidangan DUN Sabah: RM3.11 bilion dana sepanjang pandemik di Sabah

Persidangan DUN Sabah: RM3.11 bilion dana sepanjang pandemik di Sabah

Kota Kinabalu: Sebanyak RM3.11 bilion dibelanjakan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif membantu rakyat yang terkesan akibat COVID-19 di Sabah, setakat ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata sebanyak RM1.86 bilion adalah dana daripada kerajaan Pusat, manakala RM1.25 bilion lagi daripada kerajaan negeri.

Beliau berkata, dana kerajaan Pusat disalurkan melalui pelbagai inisiatif yang disediakan dalam pelbagai pakej bantuan kepada rakyat dan agensi persekutuan, khususnya Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“JKNS Sabah menerima peruntukan untuk pengurusan COVID-19 berjumlah RM256.94 juta, termasuk RM121.43 juta pada tahun ini, manakala NADMA Sabah pula menerima RM102 juta.

“Di pihak kerajaan negeri pula, secara keseluruhan sejak pandemik COVID-19 bermula, sebanyak RM1.25 bilion dibelanjakan untuk membantu rakyat terjejas pendapatan, termasuk Bantuan Sabah Prihatin 2.0 dan 3.0,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Beliau menjawab soalan Datuk Jaujan Sambakong (WARISAN – Sulabayan) mengenai peruntukan sepanjang tempoh pandemik yang dibelanjakan di Sabah setakat ini.

Masidi berkata, sebanyak 11 inisiatif disediakan kerajaan negeri untuk membantu rakyat termasuk dalam bentuk wang tunai sekali bayar kepada pelbagai kategori penerima, bakul makanan dan komputer untuk pelajar golongan e-kasih yang menduduki peperiksaan awam.

“Kerajaan negeri sentiasa prihatin dan peka terhadap kebajikan dan keperluan rakyat terutama ketika negara dilanda pandemik COVID-19.

“Ramai yang terkesan akibat kehilangan pekerjaan, pengoperasian perniagaan tidak mendapat keuntungan, kehilangan keluarga tersayang dan sebagainya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|