DUN Sabah: Sampah, pembangunan tidak seimbang punca perparitan sumbat

DUN Sabah: Sampah, pembangunan tidak seimbang punca perparitan sumbat

Kota Kinabalu: Sikap segelintir masyarakat menjadikan longkang dan parit sebagai tempat membuang sampah antara punca sistem perparitan tersumbat hingga menyebabkan banjir kilat apabila hujan lebat.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata kesedaran masyarakat penting untuk sama-sama menangani punca kejadian banjir, selain usaha dilaksanakan kerajaan untuk memastikan sistem perparitan dalam keadaan baik.

Beliau juga tidak menafikan pelaksanaan projek pembangunan seperti Lebuhraya Pan Borneo turut menyumbang kepada masalah parit tersumbat hingga mengakibatkan banjir, namun terdapat juga punca lain yang perlu diberi perhatian.

“Saya tidak menafikan pembinaan Pan Borneo menyumbang kepada parit tersumbat yang menyebabkan banjir kilat, namun kita juga perlu meningkatkan kesedaran masyarakat supaya tidak membuang sampah merata tempat.

“Ini kerana kita lihat banyak sampah terutama botol plastik dalam longkang dan ia boleh menyebabkan parit tersumbat, jadi mentaliti masyarakat perlu diubah,” katanya pada sesi soal jawab lisan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Beliau mengulas soalan tambahan Datuk Junz Wong (WARISAN – Tanjung Aru) mengenai dakwaan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo di beberapa lokasi di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan sebagai punca banjir kilat yang menjejaskan banyak kawasan kebelakangan ini.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata pembangunan pesat di sekitar daerah terbabit juga menyumbang kepada masalah parit tidak mampu menampung jumlah air yang banyak hingga mudah melimpah apabila hujan lebat.

“kita lihat sekarang banyak pembangunan di sekitar Kota Kinabalu meningkat dengan pesat tetapi utiliti termasuk perparitan tidak dirancang dengan baik.

“Sebab itu hujan dua tiga jam banjir, malah yang tidak pernah kena banjir pun sekarang turut terjejas,” katanya.

Katanya, punca sebenar banjir di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang serta apa yang berlaku akan dibincangkan secara terperinci dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Khas yang akan dipengerusikannya pada Jumaat ini.

Sementara itu, menjawab soalan asal Tan Lee Fat (DAP – Likas) mengenai tindakan yang diambil kerajaan terhadap syarikat konsesi yang gagal menjalankan tanggungjawab hingga menyebabkan banjir kilat di Kota Kinabalu dan Penampang, Bung Moktar berkata syarikat terbabit sentiasa dipantau.

“Kerajaan melalui Jabatan kerja Raya (JKR) Sabah dan syarikat konsesi serta kontraktor penyelenggaraan jalan raya sentiasa memastikan longkang dan sistem perparitan di kawasan pentadbiran mereka diselenggara mengikut jadual rutin bagi memastikan sistem perparitan berfungsi dengan baik dan tidak tersumbat.

“Selain itu, kerja pembersihan tambahan juga dilaksanakan di bawah kerja kecemasan sekiranya diperlukan dan apabila dimohon oleh pemimpin atau penduduk setempat.

“JKR Sabah sentiasa melaksanakan pemantauan berterusan terhadap kerja-kerja yang dilaksanakan syarikat konsesi dan kontraktor penyelenggaraan jalan raya.

“Notis Ketidakpatuhan Kerja (NCR) akan diberikan kepada syarikat jika didapati tidak melaksanakan kerja mengikut jadual dan tidak mematuhi spesifikasi kerja ditetapkan,” kataya.

Katanya, pemerhatian pihaknya mendapati banjir kilat berlaku disebabkan kegagalan perparitan jalan raya di bawah JKR dan parit monsun di bawah bidang kuasa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menampung air yang banyak, selain faktor pasang surut air laut.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|