Pekerja pembersihan ditemui mati

Pekerja pembersihan ditemui mati

Kota Kinabalu: Seorang pekerja pembersihan ditemui mati di belakang dibelakang sebuah perumahan flat di Jalan Tuaran, dekat stesen minyak, di sini, hari ini.

Mangsa berusia 50-an ditemui kira-kira jam 1 petang, hari ini, dalam keadaan terbaring di dalam semak oleh adik kandungnya.

Difahamkan, mangsa gagal dihubungi sejak petang semalam dan usaha mencarinya cuba dilakukan ahli keluarganya.

Menurut adik mangsa yang enggan dikenali berkata, kali terakhir dia menghubungi abangnya pada jam 9 pagi, semalam, untuk memberitahu abangnya terdapat kesan runtuhan tanah di belakang flat berkenaan

Katanya, mangsa kemudiannya memberitahunya dia akan naik ke bukit berkenaan untuk melihat keadaan tanah berkenaan.

“Selepas itu, abang saya tidak lagi dapat dihubungi. Kami berusaha mencarinya namun gagal kerana panggilan telefon juga tidak dijawab.

“Namun hati terdetik untuk naik ke bukit berkenaan dan saya amat terkejut melihatnya terbaring dan tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, dia terus memaklumkan kepada ahli keluarga sebelum menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan segera.

Sementara itu, Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.28 petang.

Katanya, sepasukan bomba dikerah ke lokasi kejadian untuk operasi membantu mengangkat mangsa keluar daripada kawasan semak.

“Mangsa seorang warga Indonesia dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut hadir membantu di lokasi kejadian,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|