Manfaat budaya ekonomi digital bantu sektor pertanian di Sabah: Raime

Manfaat budaya ekonomi digital bantu sektor pertanian di Sabah: Raime

Kota Kinabalu: Kerajaan perlu memanfaatkan budaya ekonomi digital kepada rakyat di negeri ini terutamanya dalam sektor pertanian untuk pemasaran yang lebih kompeten.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yang Dilantik, Datuk Raime Unggi berkata, ia mudah direalisasikan menerusi penglibatan pihak swasta dengan menyediakan akses internet yang lebih baik.

Bahkan, menurut beliau, akses telefon pintar yang mampu milik kepada rakyat perlu disediakan dalam memudahkan teknik pemasaran tersebut.

“Kerajaan perlu mengamalkan budaya ekonomi digital kepada rakyat khasnya bagi sektor pertanian untuk memudahkan mereka berhubung tanpa bersemuka bagi memasarkan hasil pertanian mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan di persidangan DUN Sabah, hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Raime berkata, kedudukan pengangguran di peringkat negeri pada suku kedua tahun 2021, Labuan dan Sabah telah mencatatkan kadar pengangguran yang tertinggi di Malaysia melebihi 8 peratus iaitu masing-masing pada kadar 8.8 peratus dan 8.7 peratus.

“Statistik ini menunjukkan kadar pengangguran masih lagi tinggi di kalangan rakyat Sabah berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

“Isu ini agak membimbangkan memandangkan negara masih lagi dalam Fasa Pelan Pemulihan Negara daripada pandemik Covid-19.

” Kadar pengangguran yang tinggi dikalangan rakyat Sabah sudah pasti akan menyebabkan beban kewangan kepada isi rumah dan menimbulkan tekanan hidup khususnya golongan muda yang masih mencari lagi peluang-peluang pekerjaan,” katanya.

Tambah Raime, isu kadar pengangguran di kalangan lepasan ijazah atau diploma di Sabah harus mendapat perhatian pihak Kerajaan terutamanya isu pekerjaan di bawah paras kelayakan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|