Kimanis: Seorang bayi lelaki berusia setahun maut manakala empat lagi parah selepas kenderaan yang dinaiki keluarga berkenaan terbabas dalam kejadian di Jalan Bukit Kimanis – Keningau, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian jam 6.15 petang itu, kenderaan Naza Citra berkenaan dipercayai hilang kawalan dan terus merempuh bukit di tepi jalan berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.24 petang.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan operasi mendapati terdapat lima mangsa membabitkan satu lelaki, tiga wanita dan seorang bayi lelaki.
“Mangsa bayi lelaki berusia setahun terbabit kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mangsa yang meninggal dunia terus diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Manakala katanya, empat lagi mangsa terus diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan selanjutnya menggunakan ambulans dan van EMRS.
“Pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.53 malam,” katanya.
-Deasoka