Kabel elektrik dicuri punca lampu Terowong Sepanggar tidak berfungsi

Kabel elektrik dicuri punca lampu Terowong Sepanggar tidak berfungsi

Kota Kinabalu: Kabel elektrik dipotong dan dicuri antara faktor lampu di terowong Sepanggar tidak berfungsi sehingga menimbulkan rungutan pengguna berikutan keadaannya yang gelap.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, kejadian kecurian kabel elektrik itu sudah berlaku beberapa kali sebelum ini.

Antara kabel elektrik di Terowong Sepanggar yang dipotong dan dicuri menyebabkan lampunya tidak berfungsi.

“JKR Sabah telah menerima banyak aduan berhubung perkara ini dan kerja pembaikan serta mengganti kabel-kabel yang rosak sudah siap dibaiki pada 10 Disember lalu.

“Kejadian kecurian kabel yang berlaku sebelum ini semuanya berlaku di pintu masuk terowong menghadap ke Bilik Kawalan Terowong Sepanggar dan pihak JKR Sabah telahpun membuat laporan kepada pihak polis,” kata kenyataan itu dalam Facebook rasmi mereka di sini, semalam.

Menurut kenyataan itu lagi, pada 28 Disember lalu, kejadian memotong dan mencuri kabel di terowong Sepanggar dikesan berulang lagi.

“Kejadian ini adalah yang pertama kali berlaku di pintu masuk terowong menghadap ke Pelabuhan Sepanggar. Pekerja penyelenggaraan di Terowong Sepanggar mengesan beberapa lampu di terowong kanan (iaitu dari arah Pelabuhan Sepanggar menuju ke Indah Permai) yang baru saja dibaiki didapati tidak berfungsi.

“Pemeriksaan lanjut oleh pekerja berkenaan telah menemui beberapa kabel elektrik dipotong dan dicuri. Turut ditemui adalah tali yang digunakan oleh pencuri untuk ke ‘cable tray’ yang terletak di dinding terowong,” katanya.

Sehubungan itu, JKR Sabah memaklumkan kerja pembaikan dan penggantian kabel elektrik yang rosak itu akan dilaksanakan dengan segera supaya lampu-lampu di dalam terowong berkenaan dapat berfungsi semula.

“JKR Sabah juga akan melakukan pengubahsuaian terhadap pemasangan ‘cable tray’ berkenaan untuk mencegah kejadian ini daripada berulang. JKR Sabah juga sudah melantik khidmat pengawal swasta.

“JKR Sabah memohon kerjasama orang awam sekiranya melihat aktiviti mencurigakan di kawasan Terowong Sepanggar supaya melaporkan segera ke jabatan ini di talian 088-244 333 (sambungan 1405) atau ke Aduan Jalan Raya Globinaco (088-266 600, 017-866 7883) atau ke Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu (088-242 111),” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|