Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah hari ini mengarahkan semua jawatankuasa pengurusan bencana di negeri ini diaktifkan berikutan ramalan cuaca buruk di kawasan pantai timur dan utara negeri ini.
Menerusi satu kenyataan, Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, berkata langkah segera itu berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) yang menjangkakan hujan lebat berterusan di kawasan berkenaan bermula hari ini sehingga Ahad.
“Saya sudah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong untuk mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pegawai Daerah supaya segera mengaktifkan jawatankuasa pengurusan bencana.
“Semua pihak juga diminta dalam keadaan bersiap siaga sepenuhnya atas sebarang kemungkinan terutama bencana angin kencang, banjir dan tanah runtuh,” katanya.
Beliau turut mengarahkan semua PBT supaya terus membersihkan sistem perparitan dan saliran di kawasan masing-masing bagi memastikan tidak tersumbat jika hujan berterusan.
Hajiji juga menggesa rakyat negeri ini supaya peka dengan amaran cuaca yang dikeluarkan MET Malaysia dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga demi keselamatan semua.
MET Malaysia hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap kuning (waspada) yang dijangka berlaku di Lahad Datu, Sandakan, Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Kudat sehingga Ahad ini (2 Januari 2022).
-Deasoka