Bayi lelaki ditemui di bawah kolong rumah

Bayi lelaki ditemui di bawah kolong rumah

Lahad Datu: Salakan anjing bertalu-lalu membawa kepada penemuan bayi lelaki lengkap bertali pusat yang menangis dan ditinggalkan di bawah kolong sebuah sebuah rumah di Kampung Dasar Baru, di sini, semalam.

Bayi dianggarkan seberat satu kilogram itu ditemui oleh pasangan suami isteri jam 7.30 malam dalam keadaan tertiarap atas tanah berlumpur.

Pasangan itu kemudiannya bertindak menghantar bayi terbabit ke Jabatan Kecemasan Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Wanita yang menemui bayi di bawah rumahnya di Kampung Dasar Baru, Lahad Datu.(Gambar ihsan IPD Lahad Datu)

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, pemilik rumah seorang wanita berusia 27 tahun menyatakan mendengar suara bayi menangis dan suara anjing menyalak dari arah bawah kolong rumahnya.

Susulan itu, katanya, wanita terbabit bersama suaminya dan abang kandunganya memeriksa di bahagian bawah rumah dan menemui bayi dalam keadaan masih mempunyai uri tertiarap atas tanah berlumpur.

“Doktor yang merawat bayi lelaki menganggarkan baharu dilahirkan lebih kurang tiga atau empat jam sebelum ditemui dan dilahirkan dalam keadaan pramatang iaitu berada dalam kandungan berusia 28 minggu serta berat satu kilogram.

“Setakat ini bayi terbabit dalam keadaan tidak stabil dan dimasukkan di Wad Unit Rawatan dan pemantauan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Lokasi bayi lelaki yang baru dilahirkan ditemui di di bawah rumahnya di Kampung Dasar Baru, Lahad Datu.(Gambar ihsan IPD Lahad Datu)

Rohan berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini supaya menghubungi penolong pegawai penyiasat kes Sarjan Aspalainah Mohd Zain di talian 01119019728 atau balai-balai polis berhampiran.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|