Tekad rangkul kejuaraan bersama Sabah FC

Tekad rangkul kejuaraan bersama Sabah FC

Kota Kinabalu: Keyakinan yang diberikan dengan melanjutkan kontrak adalah kunci semangat membantu Sabah FC merangkul salah satu kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia.

Pemain import Sabah FC dari Indonesia, Saddil Ramdani berkata, sasaran ini harus direalisasikan selain kerja keras perlu dilipatgandakan kerana ini merupakan tanggungjawab besar untuk mencapai sasaran tersebut.

“Saya harus komited dalam menjalani sesi latihan serta fokus terhadap arahan pihak kejurulatihan untuk memastikan dapat memahami taktikal permainan. InsyAllah kita yakin Sabah FC berada dalam landasan terbaik mencapai sasaran itu,” katanya.

Sadil berkata, faktor keserasian dan pengurusan Sabah FC yang terbaik serta mengutamakan kebajikan pemain antara tarikan utama untuk menandatangani kontrak baharu bersama kelab kebanggaan rakyat Sabah.

“Ketika bermain di padang saya seolah-oleh beraksi di laman sendiri…sorakkan dan dorongan dalam kalangan penonton menjadikan saya untuk terus kekal bersama Sabah FC pada musim depan,” katanya.

Sementara itu, Alto Linus antara pemain paling lama bermain bersama Sabah FC sejak 2009 menyifatkan faktor usia bukan penghalang untuknya mencapai prestasi terbaik sepanjang musim Liga Super 2021.

“Komitmen serta prestasi semasa antara faktor saya ditawarkan kontrak baharu. Tetapi bagi saya umur itu hanya sekadar angka yang paling penting kerja keras dalam apa juga mahupun semasa latihan atau perlawanan.

“Jangan terlalu selesa dengan kontrak baharu ini, bagi saya kontrak awal ini adalah cabaran baru untuk mencapai prestasi karier bersama Sabah FC. Saya harus bekerja keras… ramai pemain muda yang ketika ini meningkat naik. Saya harus terus berada pada tahap terbaik untuk membantu pasukan Sabah FC,” katanya.

Sementara itu, Randy Baruh yang mula bermain bersama skuad senior Sabah sejak 2016 menyifatkan usaha gigihnya selama ini berbaloi sekali gus dihargai oleh pihak pengurusan Sabah FC.

“Saya berasa gembira… lepas ini akan berusaha lebih gigih serta fokus untuk persiapan saingan Liga Super sekali gus memberi komitmen lebih tinggi di dalam latihan dan perlawanan.

“Seterusnya apabila diberi peluang, paling penting kena fokus latihan dan merebut tempat kesebelasan itu adalah menjadi sasaran utama. Saya berharap dapat capai satu sasaran lebih tinggi dalam hidup membantu Sabah FC muncul Juara Piala Malaysia,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|