Bakul Makanan Prihatin 3.0 selesai diagih di Putatan: Shahelmey

Bakul Makanan Prihatin 3.0 selesai diagih di Putatan: Shahelmey

Putatan: Bantuan Bakul Makanan Prihatin 3.0 berjaya diagihkan sepenuhnya di daerah Putatan, hari ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmey Yahya berkata, bantuan melibatkan sebanyak 6,868 bakul makanan itu selesai diagih kepada golongan sasar yang bermula sejak tujuh hari lalu.

Beliau berkata, Bakul Makanan Prihatin 3.0 daripada Kerajaan Negeri Sabah ini diperuntukkan kepada golongan B40 dan E-kasih di seluruh Sabah mengikut daerah masing-masing.

“Kita mulakan pada awal minggu lalu dan kita selesaikan dalam tempoh satu minggu yang melibatkan sebanyak 6,868 bakul makanan.

“Ia merupakan bakul makanan yang terakhir untuk siri ini bagi agihan Bakul Makanan Prihatin 3.0 daerah Putatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Bantuan Bakul Makanan Prihatin 3.0 di Dewan Masyarakat Kampung Muhibbah, Putatan, petang tadi.

Shahelmey (tengah) menyerahkan bantuan bakul makanan kepada salah seorang penerima dalam majlis itu.

Shahelmey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat dalam pada itu berkata, pihaknya berharap bantuan ini dapat meringankan beban penduduk yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Kita amat berharap dengan adanya agihan bakul makanan ini maka dapatlah meringankan beban penduduk yang terkesan akibat daripada PKP dan juga pandemik covid-19 ini” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|