Azan, solat terakhir Aming sebelum meninggal dunia

Azan, solat terakhir Aming sebelum meninggal dunia

Kota Kinabalu: Melaungkan azan sebelum menunaikan solat pada jam 1 pagi. Itu menjadi kenangan terakhir adik Muhammad Aming Salleh Abdullah, 9, sebelum meninggal dunia awal pagi tadi.

Menurut ibunya Santi Sabri, 33, kejadian itu sememangnya agak aneh namun mereka sekeluarga reda dengan apa yang terjadi.

Katanya, mereka menganggap kejadian yang menimpa mereka sekeluarga itu adalah ujian dari Allah SWT.

“Semua perkara yang dikatakan Aming kadang-kadang aneh, tetapi memang dia sering memberi nasihat kepada saya dan juga melalui video-videonya yang tular.

“Sehingga kini saya masih tidak menyangka yang anak saya sudah tiada, malah baru semalam (Rabu) dia membantu saya menjual di pasar Sin Onn,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Santi Sabri berkata, mereka sekeluarga bagaimanapun bersyukur kerana segala urusan pengurusan jenazah anaknya dipermudahkan.

Katanya, walaupun masih terkejut namun mereka sekeluarga menerima ketentuan Allah SWT.

“Syukur Alhamdulillah semua urusan pengkebumian selesai dan dipermudahkan segala urusan kami.

“Sepanjang pengurusan jenazah dilakukan, dia ‘pergi’ dengan tenang, malah ketika meninggal pun seperti tersenyum dan seperti orang tidur saja, lagi pun dia bukan sakit,” katanya.

Jenazah Muhammad Aming, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Titingan, Tawau, hari ini.

Urusan pengkebumian yang diuruskan sendiri oleh ahli keluarga terdekat arwah selesai pada jam 11 pagi tadi.

Sementara itu, berita pemergiannya turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengucap takziah kepada keluarga Aming.

Perdana Menteri mengenali mengenai Aming selepas rakaman videonya yang meminta orang ramai mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) memakai pelitup muka pernah diulang siar Perdana Menteri ketika menjawat jawatan sebagai Menteri Kanan (Keselamatan) sebelum ini.

Sehubungan itu, Santi turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, seluruh rakyat Malaysia, ahli keluarga atau rakan yang mengenali adik Aming atas ucapan takziah kepada keluarganya.

-Deasoka

Share

Written by:

1,516 Posts

View All Posts
Follow Me :
error: Content is protected !!