Keadaan Lajim dilaporkan stabil

Keadaan Lajim dilaporkan stabil

Kota Kinabalu: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Lajim Ukin, yang ditidurkan akibat jangkitan Covid-19 pada Selasa lalu kini dilaporkan dalam keadaan stabil.

Perkara itu disahkan Ketua BERSATU Beaufort, Datuk Isnin Aliasnih ketika diminta mengulas keadaan terkini Lajim yang dirawat akibat jangkitan Covid-19 di Hospital KPJ, di sini, sejak 13 Ogos lalu.

Ia susulan mesej yang tersebar di media sosial mengatakan bekas Ahli Parlimen Beaufort itu kembali stabil selepas dua hari ditidurkan berikutan keadaan kesihatannya yang sebelum ini dilaporkan merosot.

“Ya. Apa yang ada dalam WhatsApp itu betul (mesej yang tular tetapi dia (Lajim) belum sedar, cuma dia dalam keadaan stabil sejak semalam (Rabu),” katanya.

Isnin yang juga Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata beliau turut menerima maklumat daripada ahli keluarga terdekat berhubung perkembangan terkini kesihatan Pengerusi Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) itu.

Difahamkan, tekanan dan kandungan oksigen dalam darah bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu juga dalam keadaan normal.

Lajim, 66, dimasukkan ke hospital selepas disahkan positif Covid-19 ketika mendapatkan rawatan kerana kurang sihat sekembalinya dari lawatan kerja kerajaan negeri di Kudat pada 12 Ogos lalu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|