Covid-19 Sabah: Kes diramal terus meningkat lebih 3,500 sehari

Covid-19 Sabah: Kes diramal terus meningkat lebih 3,500 sehari

Kota Kinabalu: Kes baharu Covid-19 di Sabah diramal terus meningkat kepada lebih 3,500 kes sehari dalam tempoh dua hingga tiga minggu akan datang.

Ramalan itu didedahkan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Richard Avoi dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata jumlah itu adalah berdasarkan andaian bahawa sebanyak 30 peratus populasi di Sabah kini terdedah kepada virus COVID-19.

“Jika ditingkatkan jumlah populasi yang terdedah kepada jangkitan sebanyak 30 peratus, jumlah kes harian dijangka meningkat menjadi sekitar 3,500 hingga 3,700 kes dalam dua hingga tiga minggu akan datang,” katanya.

Hari ini saja Sabah merekodkan 3,487 kes baharu COVID-19 iaitu jumlah tertinggi dicatat sejak lebih setahun pandemik COVID-19 merebak ke negeri ini.

Dr Richard berkata, kes di Sabah sebelum ini diramal meningkat kepada 2,000 hingga 2,500 kes sehari berpandukan aliran peningkatan kes pada Mei dan Jun lalu.

Katanya, ia berikutan andaian lebih ramai orang terdedah kepada jangkitan disebabkan kurang kawalan pergerakan sosial dan liputan vaksinasi yang masih rendah.

“Dengan menggunakan model epidemiologi dan berdasarkan ‘trend’ harian kes COVID-19 yang dilaporkan dari 1 Jun 2021 hingga 18 Jun 2021, diramalkan bahawa jumlah kes akan tetap meningkat dengan bilangan kes sekitar 2,000 hingga 2,500 kes sehari dalam dua hingga tiga minggu akan datang,” katanya.

Sehubungan itu, katanya keutamaan ketika ini adalah untuk mengurangkan jumlah populasi yang terdedah kepada jangkitan COVID-19 melalui program vaksinasi, namun usaha itu masih memerlukan sedikit masa lagi.

Berikutan itu, katanya ada kemungkinan Sabah akan mencatat peningkatan kes baharu yang lebih tinggi dalam tempoh terdekat berdasarkan ramalan model epidemiologi dan aliran semasa jangkitan COVID-19 di negeri ini.

“Oleh itu, kita perlu membuat persediaan untuk menghadapi kemungkinan peningkatan ini dan orang ramai disarankan supaya terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada dan tinggal di rumah jika tidak ada keperluan penting untuk keluar,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin, berkata UMS komited untuk mengoptimumkan penggunaan kemudahan, sumber tenaga dan kepakarannya dalam usaha mempercepatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Sabah.

“Bagi menjayakan PICK, Pusat Pemberian Vaksin Institusi Pengajian Tinggi (PPV IPT) UMS setakat ini berjaya memberikan suntikan sebanyak 83,059 dos vaksin COVID-19 kepada orang ramai dari sekitar Kota Kinabalu sejak dibuka pada 14 Jun lalu.

“Kita tidak mahu membiarkan ada masyarakat yang belum divaksin kerana kita khuatir mereka akan membawa jangkitan dalam komuniti dan ini yang menjadi kerisauan kita,” katanya.

Jelasnya, situasi COVID-19 di Sabah dijangka lebih terkawal jika vaksinasi sudah menyeluruh seperti berlaku di Labuan yang kini beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) selepas mencapai 92.4 peratus imuniti kelompok populasi dewasa.

Dekan FPSK UMS, Prof Dr Mohammad Saffree Jeffree, pula berkata vaksinasi adalah kaedah paling berkesan bagi mengatasi peningkatan kes positif COVID-19 harian di Sabah yang kini mencecah lebih 3,000 kes sehari.

“Oleh itu, selain di PPV, kita juga menggerakkan kakitangan untuk melaksanakan program jangkauan luar vaksinasi di kawasan kampung dan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) agar penduduk di kawasan itu cepat menerima suntikan vaksin.

“Kita akan meneruskan kerjasama dengan JKNS dan pelbagai pihak bagi menjayakan usaha mencapai imuniti kelompok di Sabah secepat mungkin,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|