Covid-19 Sabah: 31 bayi antara 3,487 kes dilapor hari ini

Covid-19 Sabah: 31 bayi antara 3,487 kes dilapor hari ini

Kota Kinabalu: Seramai 31 bayi berumur bawah setahun adalah antara 3,487 kes baharu jangkitan Covid-19 yang dilaporkan di Sabah, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata seramai 297 orang lagi adalah kanak-kanak berumur antara setahun hingga lima tahun.

“Walaupun majoriti pesakit iaitu seramai 2,240 kes adalah mereka dalam lingkungan umur 18 tahun hingga 59 tahun tetapi terdapat juga jangkitan dalam kalangan kanak-kanak.

“Seramai 31 kes membabitkan bayi yang berumur kurang daripada setahun dan 297 kes lagi adalah kanak-kanak yang berumur antara setahun hingga lima tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kes baharu Covid-19 di Sabah melonjak lagi hari ini kepada 3,487 kes berbanding 3,224 kes semalam iaitu bertambah sebanyak 264 kes.

Masidi berkata, daerah Kota Kinabalu kekal mencatat kes tertinggi dengan 609 kes walaupun susut 21 kes berbanding semalam, diikuti Penampang 450 (+37); Sandakan, 367 (+122); Kinabatangan, 249 (+196); Tawau, 215 (+26); Papar, 185 (-134); Tuaran, 183 (-165); Keningau, 128 (+8); Lahad Datu, 122 (-20) dan Telupid 111 (+86).

“Daripada 3,487 kes hari ini, sebanyak 1,550 kes (44.5 peratus) adalah kes yang lewat didaftar antara dua hingga tiga hari, diikuti 294 kes (8.4 peratus) lewat antara empat hingga lima hari dan 315 kes (sembilan peratus) lewat melebihi lima hari.

“Sebanyak 2,846 kes adalah membabitkan warga negara dan 641 kes adalah warga asing. Sebanyak 1,992 kes (57 peratus) dikesan melalui saringan kontak rapat,diikuti 856 kes (25 peratus) melalui saringan bergejala dan 263 kes (7.5 peratus) adalah kes daripada kluster sedia ada,” katanya.

Satu kluster baharu yang dinamakan Kluster Hamparan 2 turut dilaporkan di Kinabatangan hari ini dengan jumlah kumulatif setakat ini sebanyak 21 kes, termasuk 20 kes baharu.

Dalam pada itu, Masidi berkata setakat semalam, 33.8 peratus penduduk dewasa di Sabah sudah melengkapkan pengambilan dua dos vaksin, manakala 54.5 peratus sudah menerima satu dos vaksin Covid-19.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|