Penyertaan UPKO dalam PH selaras dengan aspirasi parti – Ewon

Penyertaan UPKO dalam PH selaras dengan aspirasi parti – Ewon

Kota Kinabalu: Keputusan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyertai Pakatan Harapan adalah selaras dengan aspirasi UPKO yang menjadi parti berbilang kaum.

Naib Presidennya, Datuk Ewon Benedick berkata, ini berikutan Pakatan Harapan membabitkan parti Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan AMANAH adalah gabungan parti-parti politik berbilang kaum.

Katanya, ia selaras dengan resolusi parti yang dibuat pada tahun 2019 untuk berubah menjadi parti politik berbilang kaum sepenuhnya.

“Oleh itu, keputusan menyertai gabungan parti PH yang berbilang kaum selaras dengan aspirasi parti,.

“Mesyuarat Majlis Presiden hari ini juga membuat keputusan untuk menerima UPKO sebagai salah satu parti komponen Pakatan Harapan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan Saifuddin Nasution Ismail yang mengumumkan permohonan rasmi UPKO menyertai Pakatan Harapan.

Dalam kenyataan itu, Saifuddin turut menyatakan Pakatan Harapan percaya penyertaan UPKO ini akan terus memperkukuh kerjasama terutama dalam persiapan menuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, Pakatan Harapan kini merupakan gabungan parti berbilang kaum yang terbesar di Malaysia.

“Gabungan parti lain seperti Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) masih mengandungi parti politik berasaskan suku kaum dan suku agama, sesuatu yang UPKO percaya bukan langkah ke hadapan buat negara Malaysia,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|