Covid-19 Sabah: Hajiji gesa rakyat ambil vaksin, patuh SOP, waspada kenaikan kes

Covid-19 Sabah: Hajiji gesa rakyat ambil vaksin, patuh SOP, waspada kenaikan kes

Kota Kinabalu: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menggesa rakyat negeri ini supaya berwaspada dan tidak mengabaikan pengambilan vaksin berikutan peningkatan kes Covid-19 sejak beberapa minggu lalu.

Beliau turut mengingatkan agar orang ramai mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) sepanjang masa sebagai langkah pencegahan mengelak jangkitan Covid-19

“Dapatkan vaksin, duduk di rumah, amalkan kebersihan yang baik dan elakkan keluar rumah tanpa tujuan penting atau menghadiri perhimpunan bersama keluarga.

“Ini adalah antara kaedah yang kita perlu patuhi bagi menghalang penularan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan beliau menyusul selepas kes baharu Covid-19 di Sabah menunjukkan peningkatan ketara sejak beberapa minggu lalu dengan hari ini saja sebanyak 3,487 kes direkodkan.

Sehubungan itu, Hajiji berkata semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing untuk melawan pandemik Covid-19 dengan mendapatkan vaksinasi segera.

Katanya, dengan bekalan vaksin yang semakin banyak dihantar ke negeri ini, ia diharap dapat membantu usaha semua pihak ke arah menurunkan kadar jangkitan Covid-19 di negeri ini.

Hajiji ketika ini dalam rangka lawatan kerja di Kuala Lumpur dan turut ke Melaka hari ini untuk kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Mohd Ali Rustam.

Hajiji diiringi Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri yang juga Menteri Kewangan II, Datuk Seri Masidi Manjun serta Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|