JKR Labuan sedia bantuan teknikal tangani pandemik Covid-19

JKR Labuan sedia bantuan teknikal tangani pandemik Covid-19

Labuan: Jabatan Kerja Raya (JKR) Wilayah Persekutuan Labuan sentiasa bersiap sedia memberi kerjasama kepada semua agensi yang memerlukan bantuan teknikal dan kejuruteraan khususnya dalam usaha menangani pandemik Covid-19 di pulau itu.

Pengarahnya, Ir Suhaizad Sulaiman, berkata ketika pandemik Covid-19 meruncing di pulau bebas cukai itu bermula Mac lalu, JKR terbabit dalam pelbagai misi bantuan termasuk kerja mengagihkan kit bantuan makanan kepada penduduk yang terjejas.

Katanya, agihan bantuan itu sekurang-kurangnya memberi manfaat kepada penduduk di 27 perkampungan yang ada di pulau terbabit termasuk Kampung Bukit Kalam, Layangan, Bebuloh, Gangarak, Batu Manikar dan Sungai Keling.

“Peranan JKR dengan menyediakan bantuan logistik adalah sumbangan murni kepada negara.

“Kami berganding bahu dengan agensi bertanggungjawab yang lain bagi melaksanakan misi bantuan kepada penduduk yang terjejas.

“Kita berharap sumbangan kecil ini memberi manfaat sepenuhnya kepada penduduk di sekitar pulau ini,” katanya dalam kenyataannya, di sini, hari ini.

Suhaizad berkata, selain berperanan mengagihkan bantuan makanan, JKR turut terbabit dalam program Operasi Bersepadu Covid-19 bersama Pasukan Polis Marin, pembinaan hospital medan Wilayah Persekutuan Labuan serta menyediakan khidmat bantuan pergerakan untuk penerima vaksin.

Katanya, pihaknya turut membantu menyediakan keperluan teknikal kejuruteraan mekanikal dan elektrik untuk sembilan lokasi sekatan jalan raya di pulau itu.

Suhaizad turut melahirkan penghargaan kepada sukarelawan terdiri daripada kakitangan jabatan berkenaan yang terbabit dalam usaha menjayakan misi bantuan kemanusiaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|