55,920 batang rokok seludup dirampas

55,920 batang rokok seludup dirampas

Beluran: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas 55,920 batang rokok dipercayai diseludup dalam operasi di kawasan gerai tapak niaga di Pekan Telupid, di sini, kelmarin.

Operasi ‘Op Bersepadu Khazanah’ (OBK) jam 6.30 petang itu, seorang wanita tempatan berusia 47 tahun yang dipercayai peniaga gerai berkenaan turut ditahan untuk siasatan lanjut.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, ketika operasi dijalankan bersama anggota polis dari Balai Polis Telupid dan Jabatan Hutan, pasukan pihak berkuasa menemui beberapa bungkusan plastik dan kotak di gerai berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati semua plastik dan kotak berkenaan mengandungi rokok disyaki diseludup.

“Antara rokok seludup yang dirampas adalah jenama Era, Tex, Asatu, Gudang Garam, Premium dan Astro.

“Semua rokok berkenaan dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Abduh berkata, semua rokok yang dirampas disyaki bernilai keseluruhan RM43,802 berdasarkan harga pasaran semasa.

Katanya, suspek bersama rokok yang dirampas kemudiannya diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|