Mohamad, Yamani muka baharu dari Sabah barisi Kabinet Ismail Sabri

Mohamad, Yamani muka baharu dari Sabah barisi Kabinet Ismail Sabri

Kota Kinabalu: Dua muka baharu dari Sabah adalah antara dua menteri dan empat timbalan menteri yang membarisi senarai Kabinet kerajaan Pusat diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebentar tadi.

Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan, manakala seorang lagi ialah Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan Dua.

Mohamad yang mewakili UMNO Sabah memang sudah dijangka bakal dibawa masuk dalam Kabinet persekutuan selepas tiada wakil daripada UMNO Sabah dalam Kabinet pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

Yamani pula mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah juga muka baharu menggantikan Ahli Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim Bakri yang sebelum ini menyandang portfolio sama.

Sementara itu, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu dikekalkan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).

Begitu juga Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang juga Naib Presiden BERSATU kekal memegang portfolio Menteri Pertanian dan Industri Makanan.

Turut kekal dalam Kabinet baharu pimpinan Ismail Sabri ialah Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin yang sekali lagi dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Seorang lagi nama yang dikekalkan ialah Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang juga Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup.

Arthur bagaimanapun berpindah portfolio daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) kepada Timbalan Menteri Kerja Raya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|