Kota Kinabalu: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkongsi perasaan sedih berikutan pemergian seorang kanak-kanak dari Tawau, adik Muhammad Aming Salleh Abdullah yang pernah tular di media sosial sebelum ini.
Sambil mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham, Ismail Sabri turut mendoakan agar keluarga kanak-kanak itu tabah menghadapi dugaan berkenaan.
Melalui perkongsian di laman Facebook beliau hari ini, Perdana Menteri turut mengimbas yang beliau pernah memuat naik pesanan dibuat Allahyarham di laman Facebook pada awal tahun ini.
“Alfatihah. Mendapat perkhabaran sedih tentang pemergian Allahyarham adik Muhammad Aming Salleh Abdullah yang dilaporkan meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas kira-kira jam 1.30 pagi tadi.
“Saya pernah membuat hantaran di media sosial berkenaan pesanan yang baik-baik yang disampaikan oleh Allahyarham Adik Aming pada 23 Januari 2021.
“Ternyata Allahyarham adik Aming merupakan seorang anak yang sangat baik dan bijaksana. Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah untuk Allahyarham adik Aming yang kita sayangi.
“Takziah saya ucapkan kepada keluarga Allahyarham adik Aming. Semoga tabah menghadapi ujian ini,” katanya melalui hantaran terbarunya di laman Facebook beliau hari ini.
Muhammad Aming atau lebih dikenali sebagai Aming, 8, pernah tular di media sosial berikutan telatah, leteran dan kata-katanya yang memberi nasihat kepada orang ramai.
Kanak-kanak itu daporkan meninggal dunia di rumahnya selepas mengalami sesak nafas, pada kira-kira jam 1.30 pagi tadi.
Kejadian itu disahkan ibunya, Santi Sabri, 33, yang mendakwa anak bongsunya itu tiba-tiba mengadu mengalami sesak nafas sebelum meninggal dunia.
Katanya, kejadian itu tidak disangka-sangka kerana sebelum ini, Aming berada dalam keadaan yang sihat dan aktif tanpa sebarang penyakit atau dijangkiti Covid-19.
-Deasoka