Jadikan semangat kemerdekaan inspirasi bebaskan negara daripada Covid-19 – Bung Moktar

Jadikan semangat kemerdekaan inspirasi bebaskan negara daripada Covid-19 – Bung Moktar

Kinabatangan: Semangat pemimpin terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan boleh dijadikan inspirasi kepada masyarakat hari ini dalam mendepani situasi pandemik Covid-19 yang menjejaskan kehidupan semua lapisan masyarakat.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata cabaran dihadapi rakyat dalam mengekang penularan Covid-19 dan meneruskan kehidupan dalam situasi yang tidak menentu ketika ini juga memerlukan pengorbanan dan semangat juang yang tinggi.

Sehubungan itu, katanya pandemik Covid-19 yang dihadapi pada masa ini bukan alasan yang menghalang rakyat menghidupkan suasana sambutan Bulan Kebangsaan, sebaliknya masyarakat seharusnya bersemangat menunjukkan kecintaan kepada negara.

“Pelbagai cara boleh dilakukan untuk kita menzahirkan semangat patriotik kepada negara, antaranya mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing.

“Namun, apa yang paling penting ketika negara berhadapan pandemik Covid-19 ialah mendisplinkan diri dan bersoladiriti menanganinya dengan cara mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya dalam amanatnya sempena program pengagihan Jalur Gemilang kepada penduduk di Kinabatangan, di sini, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan diwakili Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Lamag, Abu Bakar Gapar, manakala Pegawai Daerah Kinabatangan, Abdul Manap Rahim antara yang hadir menjayakan program berkenaan.

Bung Moktar berkata walaupun berdepan krisis kesihatan akibat pandemik Covid-19, semangat menyambut Hari Kebangsaan wajar ditonjolkan kerana ia dilihat boleh menyatukan masyarakat.

“Kita boleh berselisih faham dalam banyak perkara, berdepan dengan pelbagai ujian dan pandemik tetapi soal kesetiaan kepada negara, soal kemerdekaan negara kita adalah sesuatu yang amat penting,” katanya.

Sementara itu, Abu Bakar Gapar meminta masyarakat khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag agar sentiasa mematuhi arahan serta SOP yang ditetapkan kerajaan bagi menangani pandemik Covid-19 di kawasan itu.

Katanya, dengan cara mendisplinkan diri dan pematuhan kepada SOP yang ditetapkan, masyakat boleh mengekang penularan virus Civid-19 daripada terus merebak.

“Jumlah kes menunjukkan peningkatan dan beberapa kampung di kawasan ini juga dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dalam usaha mengekang penularan virus Covid-19

“Bung Moktar selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag sentiasa peka terhadap keadaan ini dan bantuan sewajarnya terutamanya bakul makanan turut diagihkan kepada penduduk di kawasan PKPD,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|