Kota Kinabalu: Kanak-kanak yang terkenal dengan telatah, leteran dan kata-katanya memberi nasihat kepada umum sehingga tular di laman sosial dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Tawau, hari ini.
Muhammad Aming Salleh Abdullah, 8 tahun, atau lebih dikenali sebagai Aming dikatakan meninggal dunia selepas mengalami serangan sesak nafas kira-kira jam 1.30 pagi tadi.
Kejadian itu disahkan ibunya, Santi Sabri, 33, yang mendakwa anak bongsunya itu tiba-tiba mengadu mengalami sesak nafas sebelum meninggal dunia.
Katanya, kejadia tidak disangka-sangka kerana sebelum ini, Aming berada dalam keadaan yang sihat dan aktif tanpa sebarang penyakit ataupun dijangkiti wabak Covid-19.
“Tiada apa-apa yang berlaku sebelum itu, Aming ada makan mi segera sebelum tiba-tiba sesak nafas. Kami sekeluarga pada mulanya menyangka sakit itu biasa-biasa saja, sebab anak saya tidak sakit.
“Sebelum itu, sempat lagi dia mengangkat barang-barang saya, sebelum azan dan sembahyang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Santi berkata, Aming turut sempat memberi pesanan kepadanya supaya sentiasa menutup auratnya dengan sempurna.
“Sebelum meninggal dunia, Aming sempat lagi dia berpesan kepada saya untuk tutup rapat-rapat aurat supaya bapa tidak perlu menanggung dosa.
“Saya tidak sangka anak saya meninggal dunia ketika saya dan suami ada disisinya,” katanya.
Santi berkata, anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Titingan sebaik selesai pengurusan jenazah.
Sebelum ini, gelagat Aming tular di media sosial selepas beberapa video yang dirakam memberi nasihat termasuk situasi terkini berhubung pandemik Covid-19.
Salah satu rakaman Aming turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika beliau menggalas tugas sebagai Menteri Kanan (Keselamatan) sebelum ini.
Dalam rakaman itu, Aming menasihati orang ramai supaya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan memakai pelitup muka.
Rakaman itu dimuat naik menerusi laman Facebook miliknya pada 27 Oktober tahun lalu sehingga tular beberapa kali di media sosial.
-Deasoka