Empat pemburu haram ditahan

Empat pemburu haram ditahan

Kota Kinabalu: Empat lelaki ditahan selepas didapati dengan niat menjalankan aktiviti pemburuan secara haram di Pulau Timbun Mata, Semporna, semalam.

Semua lelaki berusia 28 hingga 41 tahun terbabit ditahan bersama tiga ekor anjing kira-kira jam 11 pagi, selepas berjaya dikesan menerusi pemantauan udara menggunakan ‘drone’.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, operasi dijalankan dengan kerjasama pasukan Jabatan Hidupan Liar, Jabatan Perhutanan dan Taman Taman Sabah (TTS).

Katanya, hasil pemantauan udara, pasukan operasi mengesan empat suspek terbabit menurun tiga ekor anjing ke kawasan daratan pulau berkenaan.

“Curiga dengan keadaan itu, pasukan operasi terus melakukan serbuan untuk pemeriksaan terhadap semua suspek.

“Hasil soal siasat, seorang daripada suspek mengaku mereka menggunakan tiga ekor anjing berkenaan dengan tujuan memburu tanpa lesen yang sah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Abduh berkata, semua suspek terus ditahan dan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, semua peralatan milik keempat-empat suspek termasuk dua bot laju yang dianggarkan bernilai RM14,720 turut dirampas bagi membantu siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 98 (10)(a)(b) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997,” katanya.

Sementara itu, dalam operasi berasingan di Maliau Basin, PGA berjaya merampas selaras senjata api buatan sendiri atau ‘Bakakuk’ yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pemburuan haram.

Mohd Abduh berkata, senjata api berkenaan berjaya dirampas selepas pasukan operasi menemui kesan pencerobohan di hutan simpan berkenaan.

Katanya, tiada pemilik kepada senjata api berkenaan dikesan dan rampasan terus dilakukan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|