174 Kayu pelbagai jenis dirampas

174 Kayu pelbagai jenis dirampas

Kota Kinabalu: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas pelbagai jenis kayu yang dipercayai diambil dari Hutan Simpan Pulau Timbun Mata, Semporna, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2 petang, pasukan operasi menemui semua kayu berkenaan ditinggalkan di sebatang anak sungai di hutan simpan berkenaan.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, operasi rondaan dijalankan dengan kerjasama pasukan Jabatan Perhutanan dan Taman Taman Sabah (TTS).

Katanya, sebaik tiba di lokasi berkenaan, pasukan operasi menemui empat longgokan kayu pelbagai jenis yang diikat dipercayai untuk dijual.

“Pasukan operasi terus melakukan pemeriksaan di kawasan sekitar dan tidak menemui mana-mana individu atau kesalahan lain di lokasi.

“Rampasan kemudiannya dibawa ke stor Pejabat Eksibit Jabatan Perhutanan Daerah Semporna untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Abduh berkata, semua kayu berkenaan dianggarkan bernilai RM7,000 berdasarkan harga pasaran semasa.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Enakmen Perhutanan 1968.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|