Alasan menagih kerana masalah keluarga

Alasan menagih kerana masalah keluarga

Beaufort: Seorang penjawat awam ditahan polis selepas dikesan terbabit penyalahgunaan dadah dalam operasi serbuan di sebuah rumah di Kampung Sungai Labuan, Kuala Penyu, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 7.40 petang itu, lelaki berusia 30 tahun terbabit ketika ditahan mengaku menagih dadah atas masalah keluarga yang dihadapi.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, polis yang bertindak atas maklumat menyerbu rumah yang dihuni suspek.

Katanya, hasil pemeriksaan rumah dan fizikal suspek tidak menemui sebarang kesalahan atau barang salah.

“Suspek kemudiannya dibawa balik ke Balai Polis Beaufort untuk tindakan lanjut dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

“Suspek turut mengaku mendapatkan dadah jenis syabu daripada seorang pengedar tempatan yang dikenali sebagai ‘Mizan’ di Pekan Kuala Penyu,” katanya.

Menurutnya, suspek kini ditahan reman untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|