Covid-19 Sabah: Kes naik semula hari ini

Covid-19 Sabah: Kes naik semula hari ini

Kota Kinabalu: Sabah kembali mencatat peningkatan kes baharu Covid-19 dengan sebanyak 805 kes dilaporkan hari ini, meningkat 128 kes berbanding 677 kes semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata peningkatan itu disebabkan saringan bergejala dan kontak rapat yang membawa kepada penambahan kes baharu di kebanyakan daerah hari ini.

Bagaimanapun, katanya tiada daerah mencatat kes tiga angka, dengan jumlah tertinggi dilaporkan pada hari ini ialah sebanyak 87 kes iaitu di daerah Ranau.

“Jumlah keseluruhan kes di Sabah melonjak kepada 805 kes setelah menurun beberapa hari sebelum ini. Bagaimanapun tiada daerah yang mencatat tiga angka.

“Peningkatan ini selari dengan jumlah daerah yang mencatatkan peningkatan kes iaitu sebanyak 18 daerah, dengan hanya lapan daerah mencatatkan penurunan dan satu daerah iaitu Kudat kekal dengan catatan seperti semalam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata daerah Ranau turut mencatat kenaikan tertinggi kes hari ini iaitu sebanyak 46 kes.

Katanya, daerah lain yang mencatat peningkatan kes ketara ialah Kota Marudu yang bertambah 42 kes, diikuti Lahad Datu (+37 kes), Pitas (+34 kes), Tambunan (+27 kes), Beaufort (+26 kes), Putatan (+19 kes), Kota Belud (+14 kes), Sandakan (+12 kes), Kunak (+11 kes) dan Sipitang bertambah 10 kes.

Daerah yang mencatat penurunan tertinggi pula katanya ialah Kinabatangan yang menurun 97 kes, diikuti Papar (-29 kes), Kota Kinabalu (-19 kes), Keningau (-19 kes) dan Penampang (-13 kes).

“Pada hari ini dapat dilihat perbandingan kes yang ketara di Kinabatangan berbanding semalam. Faktor yang mempengaruhi dapatan itu ialah kewujudan dua kluster baharu di daerah berkenaan yang dilapor semalam,” katanya.

Daerah Kinabatangan kembali mencatat kes baharu yang rendah dengan hanya 10 kes hari ini selepas meningkat mendadak kepada 107 kes disebabkan dua kluster baharu, semalam.

Masidi menambah, status dan statistik pendaftaran kes yang diumumkan hari ini menunjukkan 611 daripada 805 kes atau 75.9 peratus adalah kes yang berlaku sepanjang 24 jam yang lalu.

“Sebanyak 90.81 peratus daripada jumlah kes pada hari ini adalah Kategori 1 dan Kategori 2 yang lazimnya hanya memerlukan rawatan kendiri di rumah atau di PKRC.

“Terdapat enam kes dalam Kategori 3, empat kes dalam Kategori 4 dan satu kes dalam Kategori 5,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|