Penampang: Seorang lelaki yang sedang dalam perjalanan balik ke rumah selepas mendapatkan suntikan Vaksin Covid-19 berdepan detik cemas apabila kenderaannya tiba-tiba terbakar dalam kejadian di Jalan Pan Borneo, Papar Lama, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa berusia 67 tahun terbabit terselamat selepas sempat memberhentikan kenderaan di tepi jalan sebelum keluar menyelamatkan diri.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang Jamaluddin Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.12 tengah hari.
Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dan kenderaan utiliti dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, kenderaan jenis Proton Saga berkenaan masih terbakar dan operasi pemadaman segera dijalankan.
“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran menggunakan sumber air tangki jentera,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Jamaluddin berkata, api berjaya dikawal pada jam 12.30 tengah hari sebelum operasi tamat sepenuhnya beberapa minit selepas itu.
Katanya, tiada kecederaan dan kematian dilaporkan dan siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenalpasti punca kebakaran.
-Deasoka