Selesai isu prasekolah secara menang-menang – Awang Aslee

Selesai isu prasekolah secara menang-menang – Awang Aslee

Kuala Penyu: Satu keputusan menang-menang diharap dapat dicapai bagi menyelesaikan isu tapak pembinaan bangunan prasekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sinapokan, Menumbok, di sini.

Ketua UMNO Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat, berkata perkara itu penting bagi memastikan pembinaan bangunan prasekolah terbabit dapat diteruskan demi masa depan pendidikan anak-anak di kampung berkenaan.

Katanya, beliau sendiri menemui pemimpin masyarakat di kampung itu bersama Guru Besar Sk Sinapokan, Saiful Suari berdasarkan arahan Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin.

“Perbincangan telah dilakukan bersama mereka dan berharap isu ini dapat diselesaikan dalam tempuh terdekat ini bagi membolehkan projek pembinaan prasekolah di kampung ini dapat dimulakan demi kepentingan anak-anak,” katanya, di sini.

Awang Aslee yang juga Setiausaha Eksekutif UMNO Sabah, berkata hasil perbincangan itu sudah dimaklumkan kepada Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin untuk tindakan selanjutnya.

“Kita berharap pihak kementerian dapat mengambil tindakan penyelesaian terhadap kemelut itu bagi membolehkan projek ini dapat diteruskan,” katanya.

Selepas mengadakan perbincangan mengenai isu bangunan prasekolah itu semalam, Awang Aslee turut melawat bangunan Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di Kampung Tanjung Aru yang dalam keadaan usang dan daif.

Beliau turut meneruskan tinjauan keadaan sistem perparitan di sekitar gerai dan bangunan surau lama di Kampung Tanjung Aru bagi mengenal pasti punca banjir kilat yang sering berlaku.

Jelasnya, kerosakan bangunan dan sistem perparitan yang tersumbat hingga mengakibatkan banjir apabila musim hujan perlu diambil perhatian dan diselesaikan sewajarnya oleh pihak berwajib.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|