Kota Marudu: Seramai 73 penduduk dari Kampung Beliajung, di sini, terjejas akibat banjir dan sedang dalam proses pemindahan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Teritipan, malam ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Daerah Kota Marudu, Rayner Saimon berkata, pemindahan setakat ini melibatkan seramai 73 penduduk daripada 17 keluarga.
“Setakat jam 7 malam ini, keadaan Sungai Bandau dan Sungai Bongon berada di bawah paras waspada mana selain keadaan cuaca yang hujan ketika ini.
“Sebanyak enam kampung terjejas berikutan hujan berterusan sejak awal pagi bagaimanapun mangsa yang dipindahkan ketika ini dari Kampung Beliajung,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, pemantauan sedang dibuat dan operasi menyelamatkan serta memindahkan mangsa sedang dijalankan.
“Dijangka jumlah mangsa banjir akan bertambah dan pasukan pemantau dari Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) sedang membuat pemantauan di kampung-kampung yang di naiki air.
“Operasi menyelamat mangsa-mangsa banjir sedang dilakukan oleh pasukan penyelamat,” katanya.
-Deasoka